:::Pentingnya Kesihatan Dalam Islam:::

Author: Cita Pemuda Syahid Labels::





Assalamualaikum,apa khabar iman?

Allah taala yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-hambaNya di atas muka bumi ini. Akan tetapi kurniaan aneka nikmat tersebut tidak dapat dihitung oleh sesiapa pun sesuai dengan mafhum,


firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 34 bermaksud: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.


Antara kurniaan nikmat yang tiada ternilai harganya ialah nikmat kesihatan. Dengan kesihatan ini, manusia dapat menjalani kehidupan ini dengan aman sentosa. Dengan kesihatan juga, manusia dapat melakukan kerja dan aktiviti harian dengan lancar dan baik. Begitu juga dengan kesihatan yang menghiasi seseorang, dia dapat melakukan ibadah kepada Allah taala dengan sempurna. Demikianlah tingginya nilai kesihatan yang mewarnai serinya kehidupan Muslim .


Akan tetapi, ada manusia yang alpa dan leka dek kesihatan yang menyerikan hidupnya hinggakan dia tidak menghargai betapa mahalnya nilai kesihatan dalam kehidupannya. Dia tidak sedar dan insaf betapa sihat itu juga sebahagian dari detik kehidupan yang dia lalui. Dalam hal ini, Rasulullah ada memberi peringatan tentang kesihatan ini di mana baginda bersabda yang bermaksud:


Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia; iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang. (Hadis riwayat Bukhari)


Kebanyakan manusia hanya menyedari betapa mahalnya nilai kesihatan apabila mereka ditimpa kesakitan atau ditimpa penyakit. Dalam keadaan ini, barulah mereka menginsafi betapa kesihatan amat penting dalam kehidupan mereka. Pada ketika itu, barulah mereka menyedari betapa perlunya mereka menjaga diri mereka dan juga mengekalkan kesihatan mereka supaya aktiviti kehidupan mereka tidak tergendala.


Perlu diingat bahawa maksud kesihatan ini menurut perspektif Islam bukan hanya terhad kepada kesihatan lahiriah atau jasmaninya sahaja, malahan ia juga turut mencakupi kesihatan batinnya atau rohaninya. Hakikat ini menepis sama sekali kesilapan persepsi umat Islam yang hanya menekankan kepada kesihatan jasmani semata-mata dengan mengabaikan aspek kerohanian yang amat penting dalam menentukan nasib kesudahan setiap Muslim.


Begitu juga, Islam menolak pandangan sebahagian umat Islam yang hanya menitik beratkan kesihatan rohaninya sahaja tanpa mengambil berat akan aspek kesihatan jasmaninya. Justeru itu, Islam adalah ad Din yang seimbang dalam urusan duniawi dan ukhrawi. Kedua-duanya ada hak yang perlu ditunaikan dan dilaksanakan sebagaimana firman Allah taala dalam Al quran


surah al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud: Tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau lupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia.


Ayat ini mengungkapkan dengan jelas bahawa di samping mengejar pahala dan ganjaran akhirat, kita tidak boleh melupakan tuntutan dunia.


Kalaulah begini kepentingan kesihatan dalan kehidupan Muslim, maka kita melihat betapa Islam dari awal-awal lagi telah memberi perhatian yang serius dalam isu kesihatan ini. Jika diperhatikan secara halus, kita mendapati Islam menyediakan garis panduan yang lengkap kepada umatnya tentang kesihatan dari segi penjagaan, pengekalan dan pengawalannya.



1 comments |
  1. salam..izinkan saya share artikel ini...thanks

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...