:::.Ini Peranan Pelajar.:::
Author: Cita Pemuda Syahid Labels:: Dakwah dan TarbiahAssalamualaikum dan apa khabar iman?
Majoriti pelajar akan mengatakan peranan mereka pada ketika ini adalah untuk menuntut ilmu. Mereka mungkin akan berhujah dengan hadith-hadith yang tertentu mengenai kelebihan menuntut ilmu dan sebagainya. Adakah para sahabat tidak pernah mendengar hadith-hadith itu? Kenapa mereka tidak dihantar oleh Nabi s.a.w. ke Rom atau Parsi atau China untuk menuntut ilmu seperti kita? … Hakikatnya mereka memahami tuntutan semasa dan bertindak mengikut keperluan ummah ketika itu iaitu untuk berdakwah.
Sekali lagi ingin dikatakan, setiap pernilaian perlu dibuat dengan mengambil kira soal waqi’ (realiti) semasa. Seorang pelajar yang dalam bahaya kebakaran tidak akan meneruskan pembelajaran walaupun dia tahu pelajarannya itu sangat penting, kerana dia mengetahui yang nyawanya lebih penting. Dalam contoh yang mudah ini, kita dapati manusia sebenarnya memahami konsep Fiqh Keutamaan dan Fiqh Waqi’ (Realiti). Permasalahannya timbul apabila mereka tidak meletakkan kedudukan Islam pada tempatnya. Sekiranya Islam diletakkan pada maqam yang selayak baginya, manusia akan kembali mengutamakan kepentingan Islam berbanding kepentingan peribadi mahupun kepentingan keluarga, masyarakat dan negara.
Antara dakwah dan belajar, manakah yang lebih penting? Bukankah tuntutan kini adalah untuk berdakwah?
Mungkin juga, ada yang berkata, “buat masa ini saya perlu belajar, nanti apabila selesai belajar barulah saya berdakwah, saya mempunyai tanggung jawab kepada penaja…” Alasan ini mungkin akan diteruskan semasa bekerja, “buat masa ini saya perlu bekerja, nanti bila selesai bekerja barulah saya berdakwah, saya mempunyai tanggung jawab kepada majikan dan keluarga…” dan seterusnya, apabila pencen, mungkin dia boleh berkata yang pencen lebih penting daripada dakwah…!!! Bagaimana apabila dia mati? Apakah yang paling penting ketika itu?
Mengambil perumpamaan telur dalam Muqaddimah II, seorang pelajar sewajarnya menentukan matlamat hidupnya. Tanpa matlamat, segala perkara menjadi sia-sia. Dalam setiap amalan, matlamat merupakan perkara yang terpenting.
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى...
(Hadith 1 dalam Hadith 40 Imam An-Nawawi)
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan…”
· Belajar untuk mendapat peluang pekerjaan?
· Belajar untuk mendapat gaji?
· Belajar untuk mendapat kedudukan?
· Belajar untuk memenuhi kehendak ibubapa?
Kemanakah tujuan-tujuan ini akan membawa kita? Pastinya sejauh umur manusia tidak lebih dari itu. Hakikatnya kita perlu meletakkan tujuan yang pasti dan jauh, iaitu tujuan kepada Allah dan untuk menyeru kepadaNya.
Mungkin ada yang akan menjawab: “Saya belajar pun dakwah juga.”
Penyataan ini boleh memberi dua tujuan, pertama, memang benar-benar untuk-untuk tujuan dakwah, atau kedua, sekadar menenangkan hati yang sentiasa mencari alasan. Bagaimana untuk menjadikan pernyataan ini sebagai satu jawapan yang benar-benar menjadi hujah kita di hadapan Allah nanti?
Kita mempunyai peluang untuk mendekati golongan tertentu yang mungkin tidak dapat didekati oleh orang lain dengan kita menguasai sesuatu bidang. Kita mempunyai misi membawa pengislahan kepada golongan ini khususnya. Selain itu, dengan mempunyai kedudukan dalam masyarakat, kita akan lebih mudah diterima umum.